1. Kehidupan awal

Dilahirkan di Milan, Ohio, Thomas Edision ialah anak bongsu serta anak ketujuh kepada Samuel Ogden Edison, Jr. (1804-1896; dilahirkan di Marshalltown, Nova Scotia, Kanada) dan Nancy Matthews Edison nee Elliott (1810-1871). Keluarganya berasal dari Belanda. [1]

Di sekolah, fikiran Edison yang muda sering melayang-layang dan gurunya, Reverend Engle, kedapatan mengatakannya “bercelaru”. Ini menamatkan persekolahan Edison yang telah berlangsung selama tiga bulan. Edison kemudian mengenangkan, ‘Ibukulah yang menyebabkanku berjaya. Dia amat menyayangiku, begitu percaya akan aku; dan aku berasa aku mempunyai suatu tujuan untuk hidup, suatu orang yang harus aku tidak mengecewakan.” Ibunya kemudian mengajarnya di rumah. [2] Kebanyakan daripada pendidikannya datang daripada membaca buku Richard Green Parker, Aliran Fikiran Falsafah Semula Jadi.

Punca kepekakan Edison dikatakan diakibatkan oleh demam marak semasa kanak-kanak serta juga oleh jangkitan telinga tengah berulang yang tidak dirawat. Pada sekitar pertengahan kerjayanya, Edison mengaitkan hilang pendengarannya kepada suatu peristiwa yang berkaitan dengan seorang konduktor kereta api yang menampar telinganya ketika makmal kimianya terbakar di dalam sebuah gerabak. Pada tahun-tahun kemudian, beliau mengubah suai ceritanya dan mengatakan bahawa kecederaan itu berlaku apabila seorang konduktor yang bertujuan untuk membantunya memasuki gerabak kereta api yang sudah bergerak mengangkat telinganya. [3][4]

Keluarga Edison terpaksa berpindah ke Pelabuhan Huron, Michigan apabila landasan kereta api memirau Milan, tetapi kehidupannya di Michigan pahit manis. Beliau menjual gula-gula dan akhbar di dalam keretapi-keretapi yang berulang-alik dari Pelabuhan Huron ke Detroit.

Edison kemudian menjadi seorang operator telegraf selepas menyelamatkan Jimmie MacKenzie yang berumur tiga tahun daripada dilanggar oleh sebuah kereta api yang tidak terkawal. Bapa Jimmie yang merupakan seorang ejen stesen J.U. MacKenzie dari Gunung Clemens, Michigan berasa terhutang budi sehingga melatih Edison menjadi seorang operator telegraf. Selepas latihan selama tiga bulan, Edison menguasai kemahiran dan digaji oleh sebuah pejabat telegraf yang dimiliki oleh Western Union.[5] Kepekakan Edison dikatakan membantunya kerana ia menyekat bunyi-bunyi dan menghalang Edison daripada mendengar operator telegraf yang duduk di sebelahnya. Salah satu mentornya pada masa awal itu ialah seorang rakannya yang juga operator telegraf serta juga pereka yang bernama Franklin Leonard Pope. Pope membenarkan pemuda yang miskin ini tinggal dan bekerja di tingkat bawah tanah rumahnya di Elizabeth, New Jersey.

Sesetengah daripada rekaan-rekaan Edison yang terawal berkait dengan telegraf, termasuknya tiker saham (bahasa Inggeris: ticker tape). Paten Edison yang pertama ialah pencatat undi elektrik (Paten Amerika Syarikat 90,646) [6] yang diluluskan pada 1 Jun 1869. [7]
2. Rumah tangga

Pada 25 Disember 1871, Edison berkahwin dengan Mary Stilwell yang berumur 16 tahun dan yang ditemuinya dua bulan lebih awal. Mereka dikurniakan dengan tiga orang anak, iaitu:

* Marion “Dot” Estelle Edison (1873-1965)
* Thomas “Dash” Alva Edison, Jr (1876-1935)
* William Leslie Edison (1878-1935)

Mary Edison meninggal dunia pada 9 Ogos 1884 ketika berumur sekitar 29 tahun dan pada 24 Februari 1886 ketika berumur 39 tahun, Edison berkahwin dengan Mina Miller yang berumur 19 tahun di Akron, Ohio. [8] Mereka juga dikurniakan dengan tiga orang anak, iaitu:

* Madeleine Edison (1888-1979)
* Charles Edison (1890-1969) yang mengambil alih syarikat pada kematian bapanya dan yang kemudian dipilih sebagai gabenor New Jersey
* Theodore Edison (1898-1992).

Mina hidup lebih lama daripada Thomas Edison dan meninggal dunia pada 24 Ogos 1947.[9]
3. Permulaan kerjaya

Gambar foto Edison dengan ciptaan peti nyanyi, diambil oleh Mathew Brady pada tahun 1877

Thomas Edison memulakan kerjayanya sebagai pencipta di bandar Newark, New Jersey, bermula dengan pengulang automatik dan peranti-peranti telegrafi yang lain, tetapi setelah mencipta peti nyanyi barulah namanya dijulang pada tahun 1877. Ramai yang tidak menyangka pencapaian ini. Edison meraih gelaran “The Wizard of Menlo Park,” sempena tempat tinggalnya ketika itu. Peti nyanyi sulungya merupakan rakaman bunyi pada kerajang timah di keliling silinder beralur tetapi mutu bunyinya kurang memuaskan. Rakaman kerajang timah hanya dapat diputar beberapa kali yang kecil sahaja. Pada 1880-an, munculnya model diperbaharui yang dibuat daripada silinder kadbod bersalut lilin ciptaan Alexander Graham Bell, Chichester Bell, dan Charles Tainter. Oleh itu Thomas Edison menyambung kerja-kerja memperhalusi ciptaan peti nyanyinya (“Perfected Phonograph”).
4. Akhir hayat

Edison menyambut hari jadi ke-82 bersama Presiden Herbert Hoover, Henry Ford, dan Harvey Firestone. Ft. Myers, Florida, 11 Februari 1929.

Edison menjadi pemilik rumah yang merupakan tempat lahirnya di Milan, Ohio, pada tahun 1906. Pada kali terakhir beliau mengunjunginya pada tahun 1923, beliau terkilan kerana mendapati rumah lamanya itu masih diterangi oleh pelita dan lilin. Pada tahun-tahun terakhirnya “satu-satunya cecair yang diambilnya ialah sepain susu setiap tiga jam,”[33] kerana beliau percaya amalan pemakanan sebegini boleh memulihkan kesihatannya.

Edison bergiat dalam biudang perniagaan hingga ke akhir hayat. Beberapa bulan sebelum kematiannya pada tahun 1931, beliau memimpin projek perkhidmatan tren elektrik Lackawanna Railroad di kawasan subbandar dari Hoboken ke Gladstone, Montclair dan Dover di negeri New Jersey yang bertransmisi sistem katenari overhed. Thomas Edison menaiki ruang pendikit tren MU (Multiple-Unit) pertama yang berlepas dari Terminal Lackawanna di bandar Hoboken, lalu membawa tren tersebut sampai ke bandar Dover. Kumpulan tren yang diaturkan oleh Edison di landasan Lackawanna pada tahun 1931 beroperasi sehingga tahun 1984. Sebuah plak khas sempena memperingati kejayaan bersama syarikat Lackawanna dan Edison, masih boleh dilihat di bilik menunggu Terminal Lackawanna Terminal di Hoboken yang kini dikendali oleh New Jersey Transit.

Edison membeli sebuah rumah bernama “Glenmont” pada tahun 1886 sebagai hadiah perkahwinan kepada Mina di Llewellyn Park di bandar West Orange, New Jersey. Di situlah jenazah Edison dan isterinya, Mina, dikebumikan. Hartanah seluas 13.5 ekar (55,000 m²) itu diselenggara oleh National Park Service dengan nama Tapak Bersejarah Kebangsaan Edison. Thomas Edison meninggal dunia pada 18 Oktober 1931, di New Jersey pada usia 84 tahun. Kata-kata terakhir beliau kepada isterinya berbunyi “Indahnya di sana.” Mina pula meninggal pada tahun 1947. Hembusan terakhir Edison dilaporkan disimpan dalam tabung uji di Muzium Henry Ford. Ford dilaporkan meminta Charles Edison menyimpan udara dari bilik Thomas Edison dalam tabung uji sejurus selepas beliau meninggal, sebagai bahan kenangan.

Seminole Lodge
5. Penghormatan

Penghormatan kepada Thomas Edison tak terkiranya. Ini terbukti dengan penamaan tempat-tempat dan benda-benda sempena beliau, termasuklah bandar Edison, New Jersey, dan Kolej Negeri Thomas Edison di Trenton, New Jersey. Terdapat sebuah Menara Peringatan dan Muzium Thomas Alva Edison di bandar Edison. Di Beaumont, Texas, terdapat sebuah Muzium Edison, sungguhpun Edison tidak pernah melawat Beaumont. The City Hotel yang terletak di bandar Sunbury, Pennsylvania merupakan binaan pertama yang dicahayakan dengan sistem tiga wayar ciptaan Edison. Hotel tersebut dinamakan semula sebagai The Hotel Edison, maka kekalnya nama ini hingga ke hari ini.

Tentera Laut Amerika Syarikat memberikan nama USS Edison kepada sebuah kapal pembinasa kelas Gleaves’ destroyer, pada tahun 1940. Kapal tersebut dibersarakan beberapa bulan selepas berakhirnya Perang Dunia II. Pada tahun 1962, Tentera Laut menggunakan USS Thomas A. Edison, sebuah kapal selam berkuasa nuklear yang mengeluarkan peluru berpandu balistik, sehingga dibersarakan pada 1 Disember 1983 dan disingkirkan dari Daftar Kapal Tentera pada 30 April 1986. Kapal tersebut melalui Program Pengitaran Semula Kapal dan Kapal Selam Berkuasa Nuklear anjuran Tentera Laut di bandar Bremerton, Washington, bermula 1 Oktober 1996. Selepas selesai pada 1 Disember 1997, kapal ini disenaraikan sebagai sekerap dan tidak wujud lagi sebagai sebuah kapal lengkap.

Pingat Edison diperkenalkan oleh sekumpulan sahabat handai dan rakan sekerja Edison pada 11 Februari 1904. Empat tahun kemudian, Institut Jurutera Elektrik Amerika (American Institute of Electrical Engineers, AIEE), kemudian dinamakan IEEE, bersepakat dengan kumpulan tersebut untuk menjadikan pingat tersebut sebagai anugerah tertinggi institut tersebut. Pingat pertama dihadiahkan kepada Elihu Thomson pada tahun 1909. Pada tahun 1917, pingat itu dikurniakan kepada Nikola Tesla. Pingat Edison ialah anugerah tertua dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, yang dihadiahkan setiap tahun kepada sesiapa yang menjayakan “kerjaya pencapaian terpuji dalam bidang sains elektrik, kejuruteraan elektrik atau kesenian elektrik.”

Muzium Port Huron di Port Huron, Michigan, memulihkan depoh asal yang menjadi tempat kerja Thomas Edison ketika muda, lalu menamakannya sebagai Thomas Edison Depot Museum. Di bandar tersebut juga terdapat banyak mercu tanda bersejarah yang berkaitan dengan Edison termasuk kubur ibu bapa Edison.

Di kota Detroit, air pancutan Edison Memorial Fountain didirikan di Grand Circus Park untuk memperingati pencapaiannya. Air panuctan buatan batu kapur tersebut didedikasi pada 21 Oktober 1929.

Majalah Life (Amerika Syarikat) dalam keluaran naskhah berganda istimewa, meletakkan Edison di kedudukan teratas senarai “100 Most Important People in the Last 1000 Years,” atas sebab ciptaan lampu mentol yang dilariskannya telah “menerangi dunia.” Beliau juga menduduki tangga ke-35 dalam senarai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah oleh Michael H. Hart. Pada tahun 1940, riwayat Edison diceritakan dalam filem Edison, The Man yang dibintangi Spencer Tracy sebagai Edison.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan tak terhingga oleh para pencipta kepada negara dan dunia, Kongres Amerika Syarikat, menurut Resolusi Bersama Senat 140 (Undang-Undang Awam 97 – 198), meentapkan 11 Februari, iaitu ulang tahun kelahiran Thomas Alva Edison, sebagai Hari Pencipta Kebangsaan.

sumber : Wapedia – Wiki